Prinsip pengoperasian Penyalaan nyahcas kapasitor

Kebanyakan sistem penyalaan yang digunakan pada kereta adalah jenis aruhan, yang bergantung sepenuhnya kepada aruhan elektrik pada gelung untuk menghasilkan arus elektrik bervoltan tinggi ke palam pencucuh apabila medan magnet runtuh semasa arus elektrik pada gelung primer diputuskan. Di dalam sistem CDI, satu litar pengecas mengecas sebuah kapasitor bervoltan tinggi, dan semasa titik penyalaan sistem berhenti mengecas kapasitor, membolehkan kapasitor menyahcas keluarannya kepada gelung penyalaan sebelum sampai ke palam pencucuh.

Sebuah modul CDI biasanya terdiri daripada sebuah transformer kecil, litar pengecas, litar pemicu serta kapasitor utama. Pertama sekali, voltan sistem dinaikkan kepada 400-600 V oleh transformer di dalam modul CDI. Kemudian, arus elektrik mengalir ke litar pengecas untuk mengecas kapasitor. Rektifier di dalam litar pengecas menghalang nyahcas kapasitor sebelum titik penyalaan. Semasa litar pemicu menerima isyarat pemicu, litar pemicu menghentikan operasi litar pengecas, membolehkan kapasitor menyahcas keluarannya dengan pantas ke gelung penyalaan, yang meningkatkan voltan nyahcas kapasitor kepada 40 kV pada gelung sekunder pada palam pencucuh. Apabila tiada isyarat pemicu, litar pengecas kembali mengecas kapasitor.

Terdapat dua jenis modul CDI:

  • AC-CDI - Modul AC-CDI memperoleh bekalan elektrik sepenuhnya daripada arus ulang-alik yang dihasilkan oleh alternator. Sistem AC-CDI adalah sistem CDI paling asas yang digunakan secara meluas pada enjin kecil.
  • DC-CDI - Modul DC-CDI ditenagai kuasa bateri, maka litar pembalik DC/AC disertakan bagi meningkatkan voltan 12 V DC kepada 400-600 V DC, menjadikan modul CDI besar sedikit. Walau bagaimanapun, kenderaan yang menggunakan sistem DC-CDI memperoleh pemasaan nyalaan yang lebih tepat dan enjin lebih mudah dihidupkan semasa sejuk.